headerblog

Pagi di Hangat FM

Saturday, 20 September 2008

Nadhir membuka radio pada suatu pagi dan mendengar saluran Hangat FM. Ketika itu DJ FF sedang mengendalikan rancangan popularnya iaitu Pagi bersama FF. Kali ini DJ FF tidak ke udara berseorangan, bersamanya ialah seorang artis popular, iaitu Rasyam Nur. Nadhir mendengar topik yang dibincangkan oleh mereka, kelihatannya agak menarik.


DJ FF : Apa khabar Rasyam? Aidilfitri semakin hampir nampaknya. Hari ni 20hb. Sepuluh hari lagi tu. Bagaimana dengan persediaan?

Rasyam Nur : Betul tu. Tahun ni saya kurang bersedia sangat. Malas nak beria-ria sangat.

DJ FF : Kenapa macam tu pula? Sibuk meniaga kuih ke? Ataupun nak menghabiskan stok bazaar Ramadan? (Ketawa) Biasanya saya temuramah artis-artis paling kurang mereka sudah mula buat kuih raya dan tempah baju raya. Takkanlah awak tak bersedia langsung?

Rasyam Nur : Hmm.. memandangkan kita lagi sepuluh hari Aidilfitri, sepuluh hari lagi Ramadan akan berakhir.

DJ FF : Betul tu. Sedih juga rasanya nak meninggalkan Ramadan. Tapi itulah lumrah kehidupan setiap yang datang akan pergi. Syawal pula menjelma menggantikan Ramadan. Meraikan sebulan kita berpuasa, maka sebulan juga kita beraya. (Ketawa)

Rasyam Nur : Betul kata awak. Tetapi saya maksudkan hal ini:
"Daripada Ibnu Umar r.a. berkata: Rasulullah telah beiktikaf pada sepuluh akhir bulan Ramadan. " HR Bukhari & Muslim

DJ FF : Owh.. maafkan saya.

Rasyam Nur : Saya bercadang nak beriktikaf pada sepuluh hari terakhir ini. Itulah sebabnya saya kurang menumpukan persediaan nak menyambut hari raya nanti. Hal ini kerana beriktikaf pada sepuluh terakhir Ramadan ini ialah sunat muakkad. Bulan Ramadan bulan untuk beramal ibadat. Sepuluh akhir Ramadan kira kita kena tingkatkan 'gear' setelah enjin dipanaskan sejak awal-awal Ramadan.

DJ FF : Err.. betul kata awak tu. Jadi sebelum tu apa kata kita dengarkan dulu lagu ini bagi mengubat kerinduan mereka di perantauan, Dendang Perantau nyanyian P. Ramlee. (Kedengaran lagu P. Ramlee dimainkan)

DJ FF : Kita bertemu kembali dalam rancangan Pagi bersama FF. Anda bersama saya dan Rasyam Nur bincang-bincang tentang persediaan Aidilfitri beliau pada tahun ini.

Rasyam Nur : Seperti saya cakap tadi saya kurang bersedia tahun ini.

DJ FF : Pelik.

Rasyam Nur : Tak peliklah. Hal ini yang sepatutnya. Masyarakat sekarang yang pelik. Ramadan masih belum berakhir dan kita kena manfaatkan sepenuhnya baki yang tinggal. Tambahan pula dalam sepuluh akhir Ramadan ini ada malam Lailatul Qadr. Jadi dengan beriktikaf akan membuka lagi peluang yang besar untuk bertemu dengan malam itu.

DJ FF : Habis tu bagaimana dengan Aidilfitri awak?

Rasyam Nur : Kita raikan juga tetapi setelah berjaya melaksanakan ibadah di bulan Ramadan ini.

DJ FF : Saya tak faham dengan awak ini.

Rasyam Nur : Peluang Ramadan setahun sekali. Jadi rugi kalau tak dimanfaatkan terutamanya pada sepuluh terakhir Ramadan. Rasulullah ada bersabda: "Carilah Lailatul Qadr pada sepuluh terakhir bulan Ramadan." HR Bukhari & Muslim. Rasulullah dah suruh cari, jadi saya lebih untuk memilih mencari Lailatul Qadr daripada mencari Aidilfitri.

DJ FF : Begitukah? Habis itu kita tak perlulah sambut Aidilfitri? Ibadat je masa Ramadan.

Rasyam Nur : Bukan macam tu. Sambut juga tetapi jangan berlebihan sampai Ramadan yang belum habis dilupakan. Ganjaran yang sangat besar untuk bekalan akhirat nanti kita lepaskan begitu sahaja.

DJ FF : Awak ni sudah macam ustaz pula.

Rasyam Nur : Perkara ini bukan untuk ustaz sahaja. Setiap Muslim. Saya ni artis. Hidup saya banyak terdedah kepada dosa dan noda. Inilah peluang untuk saya mensucikan diri saya. Rasulullah ada bersabda lagi: "Sesiapa yang mendirikan Lailatul Qadr dengan penuh keimanan dan pengharapan akan diampunkan dosa-dosanya yang lampau." HR Bukhari & Muslim. Siapa yang tak mahu dosa diampunkan.

DJ FF : Sampai macam itu sekali ke?

Rasyam Nur : Baca surah Al-Qadr.

DJ FF : Yang mana tu?

Rasyam Nur : Inna anzalnaahu.. (DJ FF membaca). Maksudnya macam ini:
1. Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,
2. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?
3. Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
4. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);
5. Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!



DJ FF : Seribu bulan?

Rasyam Nur : Lebih baik.

DJ FF : Hmm.. kalau begitu terima kasihlah kerana sudi hadir ke rancangan saya ni. Ada juga selebriti macam Rasyam Nur ini. Katanya tahun ni dia nak tumpu ibadat. Memang semua selebriti akan cakap macam tu bila tiba Ramadan tapi tak pernah lagi saya jumpa selebriti atau artis yang nak beriktikaf siap bagi dalil lagi Al-Quran dan Hadis. Jadi, kita berehat sebentar dan dengarkan lagu ini sebagai hadiah kepada mereka yang masih menghayati Ramadan. (DJ FF memainkan nasyid nyanyian Manbai & Raihan – Harapan Ramadan).

Madrasah Ramadhan 1

Monday, 1 September 2008

Marhaban Ya Ramadhan
Buat sahabat-sahabat,
Selamat memasuki madrasah Ramadhan,
Semoga Ramadhan kali ini mengubah kita,
menjadi seorang hamba yang lebih dekat dengan Tuhannya,
juga seorang Muslim yang mantap Iman dan Islamnya.

***************
Wahai orang-orang yang beriman!
Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas
orang-orang yang dahulu daripada kamu,
supaya kamu bertakwa.
[Al-Baqarah :183]

Bagaimana Menyambut Ramadhan mengikut Sunnah?

Saturday, 30 August 2008


  • Menahan amarah lebih-lebih lagi apabila ada orang cuba memulakan pergaduhan dengan kita. Rasulullah s.a.w mengajar jika ada orang menyakiti kita, maka katakanlah : “Sesungguhnya aku sedang berpuasa, sesungguhnya aku sedang berpuasa [Sahih Al-Bukhari]

  • Menahan lidah dari mengumpat dan mengadu domba (gossip) bukan sahaja haram dalam bulan Ramadhan bahkan di bulan-bulan yang lain. Sabda Nabi s.a.w “Bukanlah puasa itu sekadar menahan diri daripada makan dan minum akan tetapi menahan diri dari perkataan sia-sia dan kotor’ [Riwayat Al-Hakim]

  • Menjaga solat fardhu berjemaah

  • Solat Terawih berjemaah bagi lelaki dan perempuan. Sabda Nabi s.a.w :”...sesungguhnya barangsiapa yang bersolat (terawih) bersama imam sehingga selesai, maka Allah akan menulis baginya (ganjaran seumpamanya) bersolat sepanjang malam” [Riwayat An-Nasa’i]

  • Bersahur. Adalah menjadi sunnah melewatkannya sehingga masuk waktu subuh. Baginda s.a.w bersabda yang bermaksud : “Bersahurlah kerana dalam sahur itu ada keberkatan” [Sahih Al-Bukhari]

  • Beri’tikaf di 10 malam terakhir. Nabi Muhammad s.a.w. sentiasa iktikaf pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan, dan pada tahun terakhir sebelum wafatnya, Beliau beriktikaf selama 20 hari terakhir bulan Ramadhan [Sahih Al-Bukhari]

Janganlah leka dengan persiapan menyambut hari raya terutama di akhir-akhir bulan. Ini bertentangan dengan sunnah Nabi s.a.w yang menghidupkan 10 malam terakhir Ramadhan.


Dipetik daripada http://the-authenthic.blogspot.com


Artikel menarik yang lain
Pelik Tapi Benar Di Dalam Puasa

Sunnah-Sunnah Ketika Berbuka Puasa




























[klik untuk paparan lebih jelas]

Menuju Ramadhan

Monday, 25 August 2008

Ramadhan semakin menghampiri kita. Tiba detiknya kita berusaha untuk berubah. Jangan tunggu sehingga tibanya 1 Ramadhan untuk membuat perubahan. Mulakan dari sekarang supaya kelak kita senang dan tak kekok untuk terus melangkah melalui Ramadhan yang mulia ke arah menuju Syurga dan Redha Allah SWT.

[klik pada gambar untuk imej yang lebih jelas]

-pedangbiru-

Anda telah bersedia? Bagaimana untuk bersedia?

Saturday, 23 August 2008


Artikel ini amat menarik untuk dikongsi. Diambil daripada sebuah blog

Tazkirah: Persediaan Ramadan


الَلهمَ بلَغنا رمضان


"Ya Allah Sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan."


Telah berlalu hari, minggu, dan bulan. Sedar atau tidak, kita semakin mendekati bulan yang penuh kebaikan, keberkatan, dan rahmat. Bergema di serata dunia doa orang-orang yang beriman; Allahumma Ballighna Ramadhan. Doa yang diwarisi dari kekasih yang dicintai Ar-Rasul s.a.w.



Allahumma Ballighna Ramadhan. Inilah doa yang diulang-ulang oleh Rasulullah s.a.w apabila mendekati bulan yang mulia ini. Diriwayatkan bahawa apabila tibanya bulan Rejab, maka Rasulullah akan berdoa 'Ya Allah Berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya'ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan' (Riwayat Al-Bazzar, At-Thabrani, Al-Baihaqi).



Para sahabat yang bersama dengan Rasulullah s.a.w dididik dengan tema yang agung ini; Allahumma Ballighna Ramadhan. Kesannya, mereka menyambut dan menanti Ramadhan dengan penuh kerinduan dan kecintaan. Ini terbukti dengan doa mereka selama enam bulan sebelum Ramadhan menharap agar bertemu dengannya. Kemudiannya, enam bulan selepas Ramadhan pula disi dengan tangisan kerana berlalunya Ramadhan. Saudara yang mulia, bagaimanakah halnya kita?


Allahumma Ballighna Ramadhan, merupakan doa dan harapan. Menjadi tanda bagi hamba-hamba yang salih bahawa mereka mengidam dan tamakkan limpahan Allah dalam bulan ini (Rahmat, Keampunan, Pelepasan dari Neraka). Kita mesti sentiasa berjaga-jaga agar peluang ini tidak disia-siakan atau berlalu tanpa dimanfaatkan.


Maka bagaimanakah caranya kita menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini? Persediaan yang rapi dan terancang sangat penting dalam menjayakan Ramdhan kali ini.



Persediaan

Cara

Iman

1. Taubat yang benar (Istighfar, meninggalkan maksiat).

2. Sentiasa berdoa Allahumma Ballighna Ramadhan.

3. Perbanyakkan puasa di bulan Sya’ban (Isnin-Khamis, 15-16-17).

4. Membaca Al-Quran (meletakkan matlamat satu juz sehari misalnya).

5. Mujahadah untuk bangun malam (beberapa kali seminggu).

6. Berzikir setiap masa, Al-Mathurat pagi dan petang (penggunaan tasbih sangat membantu).

Ilmu

1. Membaca/belajar buku Feqah Puasa dengan lengkap beserta kelebihan, rahsia, dan tafsiran ayat Al-Quran yang berkait dengan puasa.

2. Membaca buku-buku penyucian jiwa.

3. Mendengar ceramah-ceramah tentang Ramadhan.

4. Mengulangkaji surah-surah yang telah dihafal, sebagai persediaan solat samada sebagai imam atau makmun di bulan Ramadhan.

Dakwah

1. Bersedia untuk memberi tazkirah/ceramah tentang kelebihan dakwah di bulan Ramadhan.

2. Menghadiri majlis ilmu di masjid-masjid samada sebagai penceramah atau pendengar.

3. Mengingatkan orang lain tentang kepentingan membuat persediaan untuk Ramadhan.

4. Memberi hadiah Ramadhan kepada rakan-rakan dengan tujuan mendekatkan diri dan mereka kepada Allah.

5. Menyediakan risalah/majalah kecil untuk jiran-jiran tentang persediaan menyambut Ramadhan.

Keluarga

1. Membuat persediaan bersama seluruh ahli keluarga untuk menyambut Ramadhan terutama dari aspek iman dan ilmu.

2. Membaca buku berkaitan Ramadhan bersama-sama.

Keazaman

1. Membuka lembaran amalan baru yang jauh lebih baik.

2. Menjadikan hari-hari dalam bulan ini, lebih baik dari hari-hari biasa.

3. Sentiasa memakmurkan rumah Allah, pada setiap solat fardhu dan iktikaf.

4. Membersihkan puasa dari perkara yang merosakkannya seperti mengumpat.

5. Sentiasa berlapang dada.

6. Menghadirkan niat untuk amal soleh di bulan puasa.

Jihad

1. Merealisasikan matlamat ‘Bersungguh-sungguh melawan nafsu’.

2. Menahan diri dari berlebihan dalam perkara harus (makan, pakaian, tidur).

3. Menjaga lidah dari berkata keji, mengumpat, dan mencaci.

4. Menahan syahwat dari perkara yang haram.

5. Membuat semakan amalan di bulan Ramadhan tentang segala yang dibincangkan di atas.


Sumber: http://ismamesir.wordpress.com/2008/08/17/tazkirah-persediaan-menghadapi-ramadhan/#more-292

HARI MEMPERINGATI AL-QUDS 21HB OGOS

Thursday, 21 August 2008




21hb Ogos 1969

  • Peristiwa pembakaran Masjid Al-Aqsa oleh seorang pelancong Australia bernama Michael Dennis Rohan
  • Dia ditahan tetapi dibebaskan atas alasan dia ialah seorang yang tidak waras selepas suatu pengadilan olok-olok diadakan ke atasnya
  • Pertubuhan Persidangan Islam(OIC) ditubuhkan atas kesinambungan peristiwa ini.

Moga-moga hari ini menjadi titik-tolak bagi diri kita untuk sentiasa mengambil berat tentang Masjidil Aqsa dan isu Palestin.



Intentions

Tuesday, 19 August 2008

Imam Syafi'e dan Ahmad telah menyatakan bahawa hadis ini merangkumi padanya 1/3 daripada ilmu. Sebabnya, seseorang itu mendapat ilmu menggunakan 3 perkara iaitu dengan hatinya, dengan lidahnya, dan dengan anggota badannya. Jadi, secara tidak langsung, niat dengan hati adalah satu aspek daripada aspek-aspek memperoleh ilmu.


ingatlah, amal kita di dunia hanya diterima oleh Allah dengan niat yang ikhlas. Tukarkan adat yang kita lakukan seharian kepada ibadat, hanya dengan niat yang ikhlas dan mengikut sunnah yang ditetapkan oleh Rasulullah s.a.w. Contohnya, setiap hari kita mandi. Jikalau sekadar untuk membersihkan badan, maka hanya kebersihan badan sahajalah yang kita peroleh. Bagaimana kalau kita ubah sedikit rutin harian mandi kita. Caranya mudah sahaja, niatkan ianya sebagai satu ibadah. Hasilnya, dengan niat kita itu maka kita memperoleh pahala, ditambah pula dengan pahala yang kita dapat kerana melaksanakan niat baik tersebut, di samping dapat membersihkan badan.


Niat jugalah yang membezakan antara Ibadah Fardhu dan Ibadah Sunat, seperti solat subuh atau solat sunat 2 rakaat. Kerana itulah, niat adalah perkara yang penting dalam kehidupan seorang muslim. Amal tanpa niat seumpama debu yang berterbangan sepertimana diibaratkan roh tanpa jasad, kerana, tidak berguna jasad yang gagah dan tegap jika tiada roh. Dan roh jua tidak berguna di dunia ini jika tidak ada jasad.


Kita sebagai manusia yang serba kekurangan, seringkali terlupa, terpesong dari niat kita, bahkan terlupa untuk meniatkan amalan kita hanya kerana Allah. Maka, Allah telah memperingatkan kita supaya memperbaharui niat di setiap fardhu yang ditetapkannya: Solat 5 waktu. hayatilah bacaan Doa Iftitah yang kita baca. Supaya ianya mengingatkan kita supaya sentiasa memperbaharui niat, ikhlas hanya kerana Allah.