headerblog

Ramadan Bulan Kemenangan

Thursday 25 September 2008

Ramadan sudah hampir ke penghujung. Biasanya semangat Ramadan mula turun dan muncul semangat baru iaitu semangat Syawal. Tidak salah tetapi biar seimbang dan jangan dilupakan Ramadan yang belum habis lagi. Memang penat berpuasa, tetapi bukanlah alasan untuk bermalas-malasan kerana pada bulan inilah tercatatnya dalam sejarah beberapa kemenangan Islam berlaku dan bukti bahawa perlunya gigih dalam bulan Ramadan sehingga ke saat terakhir.

Silalah nikmati kemenangan-kemenangan tersebut…

P.S. Rasanya masa tentera Islam tengah berperang dulu ada tak asyik terfikir pasal langsir baru, kuih raya dll…


Perang Badar & Serangan Ke Atas Quraish (17 Ramadan 2H/Mac 624M)


Peperangan tidak diduga berlaku apabila Rasulullah dan para sahabat berniat untuk menyerang kafilah perniagaan Quraisy di bawah kelolaan Abu Sufyan, khabar kemaraan mereka sampai ke pengetahuan Abu Sufyan dan dia menghantar utusan ke Mekah. Maka Quraisy bersiap sedia keluar untuk berperang dan seramai 313 orang tentera Muslim bertempur dengan 1000 orang kafir Quraisy berhampiran dengan telaga air Badar. Peperangan selesai dengan kemenangan pihak Muslimin di mana 14 orang syahid, 70 orang musyrikin terbunuh dan 70 lagi ditawan.


Pembukaan Kota Mekah(Fathul Makkah) (20 Ramadan 8H/Januari 630M)


Tercetus selepas peristiwa Quraisy membantu Bani Bakar menyerang pihak Khuza'ah yang telah mengikat janji setia kepada kaum Muslimin. Sebanyak 10,000 orang tentera Muslimin mara untuk menyerang kota Mekah. Abu Sufyan seorang pembesar yang sering menentang Rsulullah telah memeluk Islam dalam peristiwa ini. Tentera Muslimin memasuki kota Mekah dengan aman dan berhala-berhala di sekeliling Kaabah dimusnahkan. Peristiwa ini merupakan suatu kemenangan besar dalam Islam.


Peperangan Al-Buwaib & Serangan ke atas Parsi (11 Ramadan 13H/November 834M)

Al-Buwaib ialah cabang Sungai Furat di mana berlakunya peperangan antara tentera Islam dengan tentera Parsi. Tentera Islam ketika itu dipimpin oleh Al-Muthanna di bawah pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab menentang tentera Parsi yang dipimpin oleh Mahran. Tentera Islam menang dan merintis ke arah kemenangan di Al-Qadisiyyah.


Pembukaan Al-Andalus & Kemasukan Islam Ke Eropah (28 Ramadan 91H/Julai 710M)



Pada zaman pemerintahan Khalifah Umayyah, Al-Walid I tentera di bawah pimpinan Tariq Ziyad. Peristiwa yang menarik ialah peristiwa Tariq membakar kapal-kapal yang membawa tentera Islam untuk mengelakkan mereka berundur dan ucapannya yang menaikkan semangat tentera Islam untuk terus mara ke hadapan berjihad. Kemenangan ini merupakan detik bermulanya Islam tersebar di Eropah dan terbinanya sebuah tamadun Islam yang gemilang iaitu Al-Andalus.


Pembukaan Amuriyyah & Serangan Ke Atas Rom (6 Ramadan 223H/Ogos 838M)


Pada zaman pemerintahan Khalifah Al-Mu'tasim, seorang muslimah terungkap auratnya dan diusik oleh pemuda-pemuda Rom. Hal ini sampai ke perkhabaran khalifah dan baginda memberi amaran kepada kerajaan Rom bahawa baginda akan menghantar tentera yang kepalanya di Amuriyyah dan ekornya di Baghdad demi membela maruah muslimah tersebut. Tentera Islam menang dan seramai 30,000 tentera Rom terbunuh manakala 30,000 lagi ditawan.


Peperangan Ain Jalut & Serangan Ke Atas Tartar (25 Ramadan 658H/3 September 1260M)


Selepas peristiwa berdarah kejatuhan Baghdad pada 656H/1258M, tentera Tartar/Mongol terus mara ke Palestin dan seterusnya Mesir. Kemaraan tentera Tartar ini berjaya dihalang dan maruah Islam telah dikembalikan semula oleh tentera Islam dari kerajaan Mamluk yang memerintah di Mesir. Tentera Mamluk yang dipimpin oleh Al-Malik Az-Zahir Rukn Al-Din Baybars telah bertembung dengan tentera Tartar yang dipimpin oleh Hulagu Khan di Ain Jalut, Palestin. Sebelum itu, Hulagu Khan telah menghantar surat yang memerintahkan agar kerajaan Mamluk menyerah kalah. Namun begitu, kerajaan Mamluk di bawah pemerintahan Sultan Saifuddin Al-Qutuz enggan menyerah dan bersama-sama Baybars menentang Tartar dan tentera Islam telang menang dalam peperangan ini.


Pembebasan Sinai & Serangan Ke Atas Israel (10 Ramadan 1393H/6 Oktober 1973M)



Selepas kekalahan Mesir dalam perang dengan Israel pada 1967 dan semenanjung Sinai dirampas oleh Israel, Anwar Sadat yang menggantikan Jamal Abdel Nasser dengan terang-terangan menyatakan pada 1972 bahawa Mesir komited untuk menyerang Israel dan telah bersedia untuk mengorbankan sejuta tentera Mesir. Dalam temuramah dengan Newsweek pada 1973 sekali lagi Sadat mengancam Israel. Israel berasa terancam dan bersedia pada peringkat maksimum serta yakin jika serangan berlaku mereka akan dapat menangkisnya. Perancangan dilakukan secara sulit dan Israel diserang secara mengejut oleh tentera Mesir. Peperangan itu berakhir dengan kejayaan Mesir merampas kembali semenanjung Sinai. Ada sumber Barat menyatakan kemenangan ialah di pihak Israel kerana kondisi militari Israel yang lebih baik daripada Mesir dan sekutunya(Syria & Iraq). Selain itu, peperangan itu juga dipanggil Perang Yom Kippur, Perang Ramadan atau Perang Oktober.



0 comments: