headerblog

Pagi di Hangat FM

Saturday 20 September 2008

Nadhir membuka radio pada suatu pagi dan mendengar saluran Hangat FM. Ketika itu DJ FF sedang mengendalikan rancangan popularnya iaitu Pagi bersama FF. Kali ini DJ FF tidak ke udara berseorangan, bersamanya ialah seorang artis popular, iaitu Rasyam Nur. Nadhir mendengar topik yang dibincangkan oleh mereka, kelihatannya agak menarik.


DJ FF : Apa khabar Rasyam? Aidilfitri semakin hampir nampaknya. Hari ni 20hb. Sepuluh hari lagi tu. Bagaimana dengan persediaan?

Rasyam Nur : Betul tu. Tahun ni saya kurang bersedia sangat. Malas nak beria-ria sangat.

DJ FF : Kenapa macam tu pula? Sibuk meniaga kuih ke? Ataupun nak menghabiskan stok bazaar Ramadan? (Ketawa) Biasanya saya temuramah artis-artis paling kurang mereka sudah mula buat kuih raya dan tempah baju raya. Takkanlah awak tak bersedia langsung?

Rasyam Nur : Hmm.. memandangkan kita lagi sepuluh hari Aidilfitri, sepuluh hari lagi Ramadan akan berakhir.

DJ FF : Betul tu. Sedih juga rasanya nak meninggalkan Ramadan. Tapi itulah lumrah kehidupan setiap yang datang akan pergi. Syawal pula menjelma menggantikan Ramadan. Meraikan sebulan kita berpuasa, maka sebulan juga kita beraya. (Ketawa)

Rasyam Nur : Betul kata awak. Tetapi saya maksudkan hal ini:
"Daripada Ibnu Umar r.a. berkata: Rasulullah telah beiktikaf pada sepuluh akhir bulan Ramadan. " HR Bukhari & Muslim

DJ FF : Owh.. maafkan saya.

Rasyam Nur : Saya bercadang nak beriktikaf pada sepuluh hari terakhir ini. Itulah sebabnya saya kurang menumpukan persediaan nak menyambut hari raya nanti. Hal ini kerana beriktikaf pada sepuluh terakhir Ramadan ini ialah sunat muakkad. Bulan Ramadan bulan untuk beramal ibadat. Sepuluh akhir Ramadan kira kita kena tingkatkan 'gear' setelah enjin dipanaskan sejak awal-awal Ramadan.

DJ FF : Err.. betul kata awak tu. Jadi sebelum tu apa kata kita dengarkan dulu lagu ini bagi mengubat kerinduan mereka di perantauan, Dendang Perantau nyanyian P. Ramlee. (Kedengaran lagu P. Ramlee dimainkan)

DJ FF : Kita bertemu kembali dalam rancangan Pagi bersama FF. Anda bersama saya dan Rasyam Nur bincang-bincang tentang persediaan Aidilfitri beliau pada tahun ini.

Rasyam Nur : Seperti saya cakap tadi saya kurang bersedia tahun ini.

DJ FF : Pelik.

Rasyam Nur : Tak peliklah. Hal ini yang sepatutnya. Masyarakat sekarang yang pelik. Ramadan masih belum berakhir dan kita kena manfaatkan sepenuhnya baki yang tinggal. Tambahan pula dalam sepuluh akhir Ramadan ini ada malam Lailatul Qadr. Jadi dengan beriktikaf akan membuka lagi peluang yang besar untuk bertemu dengan malam itu.

DJ FF : Habis tu bagaimana dengan Aidilfitri awak?

Rasyam Nur : Kita raikan juga tetapi setelah berjaya melaksanakan ibadah di bulan Ramadan ini.

DJ FF : Saya tak faham dengan awak ini.

Rasyam Nur : Peluang Ramadan setahun sekali. Jadi rugi kalau tak dimanfaatkan terutamanya pada sepuluh terakhir Ramadan. Rasulullah ada bersabda: "Carilah Lailatul Qadr pada sepuluh terakhir bulan Ramadan." HR Bukhari & Muslim. Rasulullah dah suruh cari, jadi saya lebih untuk memilih mencari Lailatul Qadr daripada mencari Aidilfitri.

DJ FF : Begitukah? Habis itu kita tak perlulah sambut Aidilfitri? Ibadat je masa Ramadan.

Rasyam Nur : Bukan macam tu. Sambut juga tetapi jangan berlebihan sampai Ramadan yang belum habis dilupakan. Ganjaran yang sangat besar untuk bekalan akhirat nanti kita lepaskan begitu sahaja.

DJ FF : Awak ni sudah macam ustaz pula.

Rasyam Nur : Perkara ini bukan untuk ustaz sahaja. Setiap Muslim. Saya ni artis. Hidup saya banyak terdedah kepada dosa dan noda. Inilah peluang untuk saya mensucikan diri saya. Rasulullah ada bersabda lagi: "Sesiapa yang mendirikan Lailatul Qadr dengan penuh keimanan dan pengharapan akan diampunkan dosa-dosanya yang lampau." HR Bukhari & Muslim. Siapa yang tak mahu dosa diampunkan.

DJ FF : Sampai macam itu sekali ke?

Rasyam Nur : Baca surah Al-Qadr.

DJ FF : Yang mana tu?

Rasyam Nur : Inna anzalnaahu.. (DJ FF membaca). Maksudnya macam ini:
1. Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,
2. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?
3. Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
4. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);
5. Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!



DJ FF : Seribu bulan?

Rasyam Nur : Lebih baik.

DJ FF : Hmm.. kalau begitu terima kasihlah kerana sudi hadir ke rancangan saya ni. Ada juga selebriti macam Rasyam Nur ini. Katanya tahun ni dia nak tumpu ibadat. Memang semua selebriti akan cakap macam tu bila tiba Ramadan tapi tak pernah lagi saya jumpa selebriti atau artis yang nak beriktikaf siap bagi dalil lagi Al-Quran dan Hadis. Jadi, kita berehat sebentar dan dengarkan lagu ini sebagai hadiah kepada mereka yang masih menghayati Ramadan. (DJ FF memainkan nasyid nyanyian Manbai & Raihan – Harapan Ramadan).

0 comments: