Konsep Akhlak Mulia

Tuesday, 21 April 2009

Bismillah dan salam. Kali ini kita akan membicarakan tentang konsep akhlak mulia. Menurut penceramah terkenal Amru Kholid, bab akhlak adalah bab yang amat luas. Banyak buku-buku karangan beliau yang berkaitan dengan akhlak yang menarik seperti yang terdapat di pasaran sekarang. Ini adalah selari dengan konsep akhlak itu sendiri yang meliputi seluruh kehidupan seorang muslim dari bangkit dari tidur sehinggalah kita tidur kembali.

Akhlak mulia bukanlah sekadar pengetahuan terhadap perbuatan-perbuatan yang manis. Ilmu pengetahuan banyak membincangkannya namun tidak ada kemampuan untuk melakukannya.


Akhlak mulia juga bukan sekadar kemampuan untuk melakukan perbuatan yang manis, kerana kadang-kadang kemampuan itu ada, namun perbuatan itu tidak dilakukan.Malah, akhlak mulia bukanlah sekadar perlakuan baik, boleh jadi seseorang itu pemurah namun tidak mampu bersedekah lantaran tidak berharta. Boleh jadi akhlaknya bakhil tetapi dia bersedekah dengan niat menunjuk-nunjuk, riak dan terpaksa.

Seorang ilmuan Islam pernah ditanya, adakah beliau membaca buku “Akhlak Jiwa” karangan Aristotle. Beliau pun menjawab bahawa beliau membaca “Akhlak Jiwa” karangan Muhammad Bin Abdullah. Ini kerana ramai ahli falsafah yang berpenat lelah cuba berkhayal dan mengada-adakan beberapa bentuk gambaran. Ada yang sempurna dan ada yang kurang. Namun hakikatnya, kita lebih jelas dan sempurna dalam kisah hidup seorang lelaki. Ia menjadi adab umat dan syiar agama yang agung. Di kalangan para sahabat, Rasulullah menjadi contoh agung dalam sudut akhlak. Itulah akhlak Islamiah yang telah ditunjukkan oleh baginda untuk menjadi ikutan kita semua. InsyaAllah..



Akhlak menurut bahasa :
Menurut bahasa Arab bermaksud tabiat dan pembawaan. Boleh juga ditakrifkan sebagai himpunan konsep dan sifat yang mantap dalam jiwa.


Akhlak menurut istilah Islam :
Himpunan prinsip dan nilai yang mengatur perlakuan manusia yang digariskan oleh wahyu dan diletakkan disiplin-disiplin demi menjayakan matlamat kewujudan manusia di muka bumi. (kitab Fiqh ad-Dakwah Ila Allah)

Menurut Imam Ghazali dalam ungkapan indahnya akhlak :
Situasi yang mantap dalam jiwa. Melaluinya, perbuatan dan tindakan terbit dengan mudah dan senang tanpa perlu berfikir dan merenung.
(Ihya Ulumuddin)

Situasi mantap diumpamakan seperti begini :
Seseorang yang menunaikan nazar atau dalam keperluan mendesak. Iaitu perbuatan yang bukannya lahir dari akhlak pemurah. Kerana perbuatan itu masih tidak mantap dalam jiwanya.

Beliau juga mensyaratkan perbuatan yang lahir itu lahir dengan mudah dan tanpa perlu berfikir. Sebagai contoh, jika seseorang itu bersedekah dengan sukar dan berfikir dahulu, dia tidak dikatakan sebagai akhlak pemurah.

Rukun akhlak mulia : (kitab Al-Ihya)



1. Kemantapan ilmu.

Melalui ilmu, kita dapat mengetahui antara yang benar dan salah. Ia adalah hikmah (kebijaksanaan). Melampau dalam penggunaan ilmu untuk tujuan jahat adalah keji. Manakala dangkal dalam ilmu adalah dungu. Pertengahan antara melampau dan dangkal adalah hikmah. Ilmu juga menjadikan seseorang dapat melihat yang baik adalah baik, dan yang buruk adalah buruk.


2. Keberanian.

Kekuatan marah yang mampu dikendalikan akal ketika ia muncul dan sempurna. Jika kekuatan marah yang terkeluar dari landasan pertengahan (keadilan) dan berlebihan dinamakan membuta tuli. Jika kemarahan menjangkau kelemahan dan kekurangan dinamakan pengecut dan bacul. Kemarahan dapat membantu seseorang mementingkan nila-nilai akhlak, bermaruah, mampu menahan kemarahan dan berlemah lembut.


3. Kesucian.

Yang dimaksudkan adalah kemampuan mendidik kekuatan nafsu melalui didikan logic dan syarak. Jika nafsu cenderung kepada berlebihan akan menjadi buruk, namun sekiranya cenderung kepada pengurangan, ia akan menjadi jumud dan lemah. Kesucian membantu kita dalam menjauhi perkara yang keji. Ia turut menanamkan sifat malu yang menjadi punca semua kebaikan.


4. Adil.

Dimaksudkan disini adalah kekuatan jiwa yang mampu menguasai diri ketika marah dan bernafsu serta membawa kedua-duanya kepada tuntutan hikmah.Tiada aspek berlebihan dalam sifat adil. Ia membawa seseorang itu berakhlak tenang dan sederhana.



Semoga kita dapat memanfaatkan pengetahuan kita dalam bab akhlak yang kita kongsi pada kali ini. Syukran, wassalam.

0 comments: